Thursday, 1 April 2010

sayang sarawak (bahagian 2)

Perahu tambang meninggalkan kami jauh sudah ke seberang. Wajah Pak Tambang basah disimbah mentari terik masih terpancar. Aku melangkah perlahan memikirkan jemputan malam nanti. Sepanjang menyusur jalan pulang ke rumah, ingatan ku kembali ketika zaman kecil-kecil dulu. Semuanya indah. Bagaikan dalam kayangan. Setiap yang diinginkan pasti ditunaikan. Teringat masa inginkan sebuah kereta kawalan jauh. Aku merengek di hadapan kedai untuk mendapat simpati ibuku pada masa itu. Mungkin kerana hanya aku sebagai penghias kesunyian rumah, permintaanku di tunaikan. Namun, kini rasa bersalah apabila memikirkan kembali. Ingatan ku terpadam apabila melintasi sebuah kedai milik Mak Senah. “Baru balik Wan?” tanya Mak Senah mesra. “Ya, Mak Senah”jawabku. Tiba-tiba hatiku teringat akan Mastura puteri Mak Senah yang selalu mengganggu fikiranku. “Mak Senah, lama saya tidak melihat Mastura”, tanyaku. “Mastura sudah berkahwin dengan orang Malaya, sekarang menetap di Kuantan Pahang, wan.” Jawab Mak Senah. Perkataan orang Malaya sudah sinonim bagi masyarakat setempat ku. Mungkin masih terikat benar dengan sejarah zaman dahulu. Rasa tersirap darah ke muka ku mendengar jawapan Mak Senah. Entah, mungkin malu. “Itulah engkau wan, dulu suruh masuk meminang tak nak,” tiba-tiba satu suara yang pernah aku dengar memasuki ruang corong telinga ku. “Ah, kau ni Zul. Itukan jodoh. Ya kan Wan?” Aku kurang jelas dengan Mak Senah, apakah dia sebenarnya menidakkan kata-kata Zul atau sebenarnya menyindir ku. Pernah ketika dahulu Mak Senah bersembang bersama ibu ku bertanyakan hal untuk menyatukan aku dan Mastura. Tapi entah mengapa aku rasa ketika itu aku belum bersedia untuk menikmati alam rumah tangga. Aku ingin terus memikirkan tentang keluarga ku. Aku meninggalkan Zul dan Mak Senah dalam keadaan yang mungkin masih menunggu jawapan ku. Aku terus berlalu meninggalkan mereka. Aku terus lagi berjalan, ku lihat beberapa pemuda duduk di bangku simpang jalan ke rumah ku. “Eh Wan, lepak la sekejap,” ah, inilah yang aku inginkan. Sudah lama tidak duduk di bangku-bangku yang dibuat sendiri dengan menggunakan kayu-kayu yang hampir reput agak kali. “Mungkin bukan ini waktunya Riz, aku perlu segera pulang. Aku perlu ke rumah saudaraku petang nanti. Esok aku kelapangan Riz, bawa teman-teman mu ini. Kita ke bandar ya.” Aku bukan memberi alasan untuk bersama mereka, tidak sama sekali. Riz mungkin faham akan aku, kerana pernah satu ketika aku menceritakan tentang kerinduan ku pada keluarga ku. “Pasti Wan?” tanyanya seolah-olah aku akan menghadiahkannya sebuah banglo. “Ya, kalau aku terlupa kau ingatkan ya.” Aku terus berlalu meninggalkan mereka yang pastinya seronok berbicara tentang pelbagai pengalaman. Walaupun mungkin hanya bual-bual kosong, namun tersirat di sebalik cerita itu tentang keseronokan yang mungkin tidak aku temui di sana nanti. “Kau dah balik Wan?” tanya ibu yang menyapu ruang halaman rumah. “Mak, malam ini kita ke rumah Fahmi ya. Mereka menjemput kita makan malam.” Kata ku kepada ibu. “Kenapa kau tak bagitahu awal, kalau tak boleh juga mak buatkan sesuatu untuk buah tangan ke sana nanti.” Ya, ada benar kata ibu, takkan aku tidak membawa apa-apa ke rumah Fahmi nanti. Ibu segera ke dapur. Entah apa yang akan dibuatnya. Petang yang nyaman ini sudah dicemari sedikit-sedikit warna jingga di kaki langitnya. Anak-anak muda yang tadinya berkumpul sudah pun beredar. Anak-anak kecil sudah berapa kali dipanggil oleh ibunya untuk pulang. Ingatan ku pada Mastura kembali lagi. “Naiklah!” Lamunan ku terhenti apabila adik bonguku menyergah ku dari belakang. Aku mengejarnya, tapi suara ayah yang sememangnya ku geruni membiarkan adikku kini aman di ruang tamu rumah sambil mentertawakan aku. Mastura…

No comments:

Post a Comment