Jam 4 petang tadi saya ke Kajang dengan tujuan untuk menukar kad bank saya yang rosak. Entah bagaimana kad bank saya itu rosak. Mungkin baru-baru ini ‘ditelan’ dek mesin ATM. Terus saya segera ke sebuah bank yang berhampiran di Kajang dengan terburu-buru. Terburu-buru bukan kerana saya nak balik cepat, tetapi kerana hujan yang penuh dengan kerahmatan mencurah-curah membasahi bumi. Mujur kakak saya ketika itu yang menemani saya membawa payung. Dalam melewati hujan yang mencurah-curah, dari jauh saya melihat di luar bank ramai yang berbaris. Saya ingatkan begitu ramai yang ingin membuat transaksi pada hari itu. Mungkin kerana hari Jumaat, keesokkannya Sabtu bank akan tutup, bak kata Allahyarham P.Ramlee, Public Holiday. Terus saya mendekati pintu masuk bank tersebut, tertampal notis berbunyi “harap maaf, tiada bekalan elektrik”, ramai yang berada di luar masih berharap agar bank ini beroperasi seperti sedia kala, malangnya seorang petugas yang entah berpangkatkan apa keluar dan menyeru kami untuk beredar kerana bank mungkin tidak beroperasi pada petang itu. Saya cuba memberanikan diri untuk bertanya kepada wanita itu, apakah jika ada elektrik sebentar lagi mereka juga akan terus menutup waktu operasi bank ini. Wanita tersebut diam dan terus menutup kembali pintu masuk bank tersebut. Bukannya saya mempersalahkan salah sebuah bank yang terkenal dalam kalangan kita di Kajang ini dan wanita yang bertugas ini, tetapi terkilannya saya melihat hanya premis ini yang terputus bekalan elektrik sedangkan premis lain terang benderang dengan lampu. Alahai, bank sebesar itu pun terlupa membayar bil elektrik. Atau mungkin mereka di premis ini sedang meraikan Earth Hour yang telah berlalu...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment