Thursday, 22 April 2010

Cinta Raudah

Raudah berlari-lari anak di padang pasir yang luas itu, bukan mencari air seperti kisah Hajar dan Nabi Ismail tetapi berlari setelah ke dua anaknya mati dalam keadaan syahid. Raudah menghempas-hempas dirinya ke dinding rumah. Raudah persoalkan nasib dirinya yang malang itu. Raudah merintih deras. Raudah mahu anaknya kembali bersamanya. Raudah ingin menanyi lagu membuai anaknya yang akan tidur. Oh, Raudah, kau perlu kuat. Memang tidak pantas aku menasihati dirimu kerana aku bukan di tanah mu itu. Tanah penuh darah dan air mata. Tanah penuh dendam dan sengsara. Andai Raudah berlari lagi pada suatu hari, Raudah mungkin bukan seorang yang ibu yang dahulunya seorang lemah-lembut melayani kerenah anaknya itu. Raudah bukan lagi seorang yang memegang sudip dan periuk nasi untuk mengisi kelaparan anaknya. Raudah mungkin akan sekeras batu di Gua Hira’ itu, menjadi benteng mempertahan maruah negara dan agamanya. Raudah mungkin menggenggam perisai dan senjata, menjadi peluru yang akan menusuk dan membalas setiap titik darah anaknya yang gugur syahid itu. Raudah kini berdiri sebaris dengan tentera yang berada atas lapangan menuju ke syurga. Andai barisan itu gugur pada hari itu, mereka akan dilambai-lambai bidadari dari al-Jannah yang menjadi idaman setiap hati kami, andai mereka terus berdiri pada hari itu, sesungguhnya akan menjadi mulia dan mendapat rahmat dari penciptanya. Oh Raudah, kau tetap wanita. Dirimu tidak sekuat Hamzah yang mampu berlari kencang di padang perang, dirimu bukan Khalid al-Walid yang pantas bermain pedang. Dirimu hanyalah Raudah. Kau bukan diasuh membina tembok menghalang serangan, kau bukan dididik membalas tembakan peluru musuh, kau bukan diajar menusuk pedang ke arah perut musuh, kerana kau mengasuh anak mu untuk merobohkan tembok kebencian, kau mendidik anakmu menahan sahaja tembakan yang ada, kau mengajar anakmu menyimpan pedang kembali ke sarungnya. Kerana kau begitu indah Raudah. Seindah Raudah tempat himpunan doa-doa. Semoga anak-anakmu yang gugur di tanah itu menjadi penyambut ketika dirimu dipanggil kembali oleh tuhanmu, kerana di situ kebahagiaan yang abadi. Kebahagiaan yang dijanjikan kesenangan yang berlimpahan. Hanya untuk umat-Nya yang kesusahan dalam menjalani kehidupan duniawi. Semoga dirimu tabah Raudah…

No comments:

Post a Comment