Monday, 26 April 2010

Tokoh Cerpen

Bersama hembusan angin pagi, saya menjenguk beberapa blog yang pernah rakan dan diri saya sendiri hasilkan untuk memenuhi markah kursus Dr. Mawar Shafie, yang merupakan pensyarah bagi Kursus Cerpen Melayu. Terdapat 10 buah kumpulan dengan 10 tokoh cerpen terkemuka tempatan. Saya titipkan link yang ada untuk saudara semua, rakan kami daripada program Kebudayaan dan Kesenian Melayu pun berminat mengenai blog kami ini. Terima kasih atas sokongan semua. Tekan sahaja gambar di bawah untuk maklumat tokoh yang ingin anda ketahui. Silakan...

Friday, 23 April 2010

Selamat Pagi Pengawas!

Halim bersembunyi di sebalik ruang hujung blok A itu. Dia mungkin ketakutan kerana baru sahaja membaling batu ke arah seorang rakan kelasnnya yang juga seorang pengawas. Halim ketakutan. Halim tahu dia melakukan kesalahan. Tapi hari itu Halim tekad membaling batu itu pada rakannya. Halim mahu rakannya tahu yang dia tidak gentar. Halim terus bersembunyi. Bunyi kaki di luar ruang itu sederap bunyi kawad kaki pelajar Kadet Polis Sekolah. Halim rasa ingin terus pulang hari itu. Dia ingat lagi pagi tadi sebelum kelas bermula, Zifah mengejeknya lagi. Zifah seorang pengawas. Zifah berubah selepas menjadi pengawas. Dulu, Halim masih ingat dia dan Zifah bersama-sama bermain dan belajar. Ketika pulang dari sekolah, mereka akan berbasikal bersama pulang. Halim berfikir mungkin sekarang Zifah berbaju biru dan tidak seputih sepertinya. Kini Halim masih bersembunyi di sebalik ruang itu. Halim tidak menyangka dirinya membaling batu itu. Loceng tamat masa rehat memecah kemeriahan di kantin sekolah. Halim keluar dari tempat persembunyiannya. Halim mahu ingin segera pulang. Halim tidak mahu berdepan dengan Zifah. Halim bukannya takut, tapi Halim sudah tanam rasa benci. Halim mahu keadilan pada dirinya. Halim bukan pelajar yang jahat. Ramai lagi rakannya yang lebih nakal daripadanya. Ada yang menconteng-conteng meja dan dinding, ada yang berani merokok di dalam sekolah, dan ada juga yang berpakaian selekeh. Tapi Halim tidak seperti itu. Halim hanya pendiam. Halim malu diejek Zifah kerana mengatakan dirinya bisu pagi tadi. Halim akan tetap menyimpan rasa marah itu. Zifah mungkin tidak perasan akan tindakannya itu, kerana Zifah sudah ramai rakan-rakan. Tidak seperti Halim yang hanya pendiam dan kekok dalam pergaulan. Bukan salah Halim, kerana ini memang sikap dan sifatnya. Adakah masih ada yang memahami…

Rakan Semasa di Tingkatan 6

Ini wajah saya dan rakan ketika di Tingkatan 6, SMK Matang Jaya, Kuching. Semasa belajar di sini, saya menempuh pelbagai kisah suka dan banyaknya duka. Mungkin tidak perlu saya kongsikan di sini. Saya dan teman mungkin akan mengadakan Reunion pada tahun ini. Tapi semuanya masih sibuk dengan keadaan masing-masing. Rasanya, masa yang paling sesuai untuk berkumpul ialah Hari Raya. Kita jumpa Hari Raya nanti ya. Tapi pada cuti semester ini, beberapa rakan akan berkumpul, bukan semua. Jadi, yang berkesempatan silakan...

Thursday, 22 April 2010

Cinta Raudah

Raudah berlari-lari anak di padang pasir yang luas itu, bukan mencari air seperti kisah Hajar dan Nabi Ismail tetapi berlari setelah ke dua anaknya mati dalam keadaan syahid. Raudah menghempas-hempas dirinya ke dinding rumah. Raudah persoalkan nasib dirinya yang malang itu. Raudah merintih deras. Raudah mahu anaknya kembali bersamanya. Raudah ingin menanyi lagu membuai anaknya yang akan tidur. Oh, Raudah, kau perlu kuat. Memang tidak pantas aku menasihati dirimu kerana aku bukan di tanah mu itu. Tanah penuh darah dan air mata. Tanah penuh dendam dan sengsara. Andai Raudah berlari lagi pada suatu hari, Raudah mungkin bukan seorang yang ibu yang dahulunya seorang lemah-lembut melayani kerenah anaknya itu. Raudah bukan lagi seorang yang memegang sudip dan periuk nasi untuk mengisi kelaparan anaknya. Raudah mungkin akan sekeras batu di Gua Hira’ itu, menjadi benteng mempertahan maruah negara dan agamanya. Raudah mungkin menggenggam perisai dan senjata, menjadi peluru yang akan menusuk dan membalas setiap titik darah anaknya yang gugur syahid itu. Raudah kini berdiri sebaris dengan tentera yang berada atas lapangan menuju ke syurga. Andai barisan itu gugur pada hari itu, mereka akan dilambai-lambai bidadari dari al-Jannah yang menjadi idaman setiap hati kami, andai mereka terus berdiri pada hari itu, sesungguhnya akan menjadi mulia dan mendapat rahmat dari penciptanya. Oh Raudah, kau tetap wanita. Dirimu tidak sekuat Hamzah yang mampu berlari kencang di padang perang, dirimu bukan Khalid al-Walid yang pantas bermain pedang. Dirimu hanyalah Raudah. Kau bukan diasuh membina tembok menghalang serangan, kau bukan dididik membalas tembakan peluru musuh, kau bukan diajar menusuk pedang ke arah perut musuh, kerana kau mengasuh anak mu untuk merobohkan tembok kebencian, kau mendidik anakmu menahan sahaja tembakan yang ada, kau mengajar anakmu menyimpan pedang kembali ke sarungnya. Kerana kau begitu indah Raudah. Seindah Raudah tempat himpunan doa-doa. Semoga anak-anakmu yang gugur di tanah itu menjadi penyambut ketika dirimu dipanggil kembali oleh tuhanmu, kerana di situ kebahagiaan yang abadi. Kebahagiaan yang dijanjikan kesenangan yang berlimpahan. Hanya untuk umat-Nya yang kesusahan dalam menjalani kehidupan duniawi. Semoga dirimu tabah Raudah…

Wednesday, 21 April 2010


Dingin pagi, tiba-tiba saya dijemput oleh rakan laman sosial saya yang juga senior saya dalam Persatuan Mahasiswa/i Sarawak Saudara Azmi menjemput saya untuk ke blognya. Satu artikel mengenai etnik di Sarawak iaitu suku etnik Melanau. Dalam kesibukan menghabiskan bacaan untuk peperiksaan Hubungan Etnik jam 12tengah hari nanti, saya sempat juga membaca artikel ini. Silakan ya semua. Tekan link ini.

Saturday, 17 April 2010

Alahai Baju Biruku...

Ketika Ali sedang mengemas baju-bajunya, tiba-tiba dia dipanggil oleh rakannya. “Kau beli baju baru tu?”tanya Rahman kepada Ali. “Mestila aku beli, kan cantik baju tu. Kenapa, kau tak belike?” tanya Ali balik kepada Rahman. “Hurm, aku dah terbeli nak buat camner..” jawab Rahman dengan penuh kekecewaan. Inilah kisah dua rakan yang membeli baju ketika jualan pasar malam pada hujung minggu. Kedua-dua mereka telah berpakat untuk membeli baju untuk ke kelas. Tapi hakikatnya Rahman seolah-olah kurang yakin akan tindakannya membeli baju itu. Mengapa Rahman tiba-tiba rasa menyesal membeli baju itu? Adakah baju itu tidak secantik seperti yang dia sangkakan? Atau tidak mendapat layanan kelas pertama ketika membeli baju itu? Semuanya ada kemungkinan kerana pada masa Rahman membeli baju itu, orang ramai berpusu-pusu untuk mendapatkan baju itu. Rahman mungkin rasa tertipu kerana dirinya terpedaya kata manis penjualnya. Atau Rahman tidak berpuas hati dengan harganya. Terus saya mencari Rahman mendapat penjelasan. Rahman tidak mahu menceritakan semuanya kepada saya. Tetapi Rahman berbisik sesuatu kepada saya: “alahai baju biruku, penuh rasa dengki dan sakit hati, kenapa tidak kau halang aku dari membelinya.” Tidak sempat saya membalas bisikan itu, Rahman terus berlalu dan saya terus rasa terpaku. Ayuh Rahman, biarkan baju biru itu dengan rasa dengki dan sakit hati. Bukankah kau mengerti akan sikap manusia yang berbagai dan wajar ada seperti itu? Sudahlah Rahman, jom saya bawakan kau berjalan sekitar kawasan bandarku, kita beli baju yang baru ya, baju biru itu, kau letak saja di almari itu. Rahman menurut layu, mudahan Rahman tersedar selepas ini yang dirinya perlu waspada dengan mereka. Alahai baju biru itu..



Keluar sahaja dari kereta, kami terus singgah di The Spring;








Saya terus membawa Rahman memilih baju-baju barunya di pelbagai kedai di dalam ruang The Spring ini antaranya;












































Sebenarnya banyak lagi tempat kami pergi, tapi gambar kedai lain perlukan bayaran.. Silakan ya semua! Pepatah Melayu ada berbunyi "mangata dulang paku serpih..." sambung seterusnya ya! Alahai...

Thursday, 15 April 2010

Etnik Tatau

Ini merupakan keratan gambar yang digunting rakan saya Lein John ketika dia sedang duduk bersantai dilantai bilik saya. Keratan ini saya perolehi daripada akhbar bertarikh 13 April 2010 Berita Harian. Mungkin ada saudara yang ingin mengetahui misteri etnik Tatau ini boleh menekan link ini untuk bacaan lanjutan di akhbar Berita Harian secara 'online'. Menarik dan unik. Silakan, ini juga etnik minoriti di Sarawak!

Pasangan ini disandingkan di atas gong..

















Pasangan ini mungkin sedang menyajikan minuman teh umpamanya..














Ini pula pakaian tradisi etnik ini...








Artikel mengenai etnik ini amat menarik, jika saudara membuka link yang saya beri di atas, ada paparan video disertakan. Oh ya, kepada pembaca tentang artikel Salam Tradisi saya baru-baru ini, saya telah mengeluarkan artikel itu daripada blog ini, tetapi jika saudara ingin membacanya atau belum sempat meletakkan komen, beritahu saya ya, akan saya hantar salinannya kepada saudara menerusi emel, InsyaAllah..

Wednesday, 14 April 2010

Salam Jamadilawal!

Ketika saya sedang membelek helaian kalender pagi ini, rupanya baru saya tersedar yang hari ini merupakan hari pertama dalam bulan Jamadilawal yang merupakan bulan ke 5 dalam kalender Islam. Jamadilawal merupakan permulaan kepada musim sejuk dan kering. Pada zaman Rasulullah, pada musim ini, cuaca kering dan air sukar didapati. Cepat masa berlalu. Teringat saya kata bijak pandai Hamka yang mengatakan kita dapat mengira masa-masa yang lalu, tapi tidak akan pernah dapat membilang hari-hari kemudiannya. Masa yang berlalu tak mungkin dapat kita kembalikan lagi, tapi hari-hari yang masih ada ini, ada baiknya kita penuhi dengan pelbagai perkara yang mendatangkan manfaat. Antaranya mungkin melakukan perkara-perkara sunat dalam bulan Jamadilawal ini. Namun dalam bulan Jamadilawal ini tiada amalan khusus tetapi amalan sunat yang banyak tidak sempat kita lakukan mungkin pada bulan ini kita lakukan. Pelbagai peristiwa berlaku pada bulan Jamadilawal, antaranya ialah peperangan; Peperangan "Al-'Ashirah", Peperangan "Zat Ar-Riqa`", Peperangan Mu'tah, Peperangan Ajnadain. Pada bulan ini juga, telah syahid 2 tokoh Islam yang begitu besar pengorbanannya dalam Islam iaitu; Asma' binti Abi Bakar As-Siddiq yang digelar "Zat An-Nitoqain", salah seorang yang dijanji masuk ke syurga Allah s.w.t. dan Abdullah bin Az-Zubair, anak kepada Asma’ binti Abi Bakar. Semoga kita juga tergolong dalam mereka yang syuhada...

Ros Kalas

Saya begitu meminati lagu zapin Ros Kalas mungkin selepas terlalu jauh meninggalkan negeri tercinta. Mungkin teman-teman tahu ros itu adalah sejenis bunga, namun tidak pada kalas bukan? Terdapat 3 perkataan penjelasan warna dalam bahasa Melayu Sarawak yang terdapat perbezaan dengan bahasa Melayu di sini. Mungkin maklumat di bawah ini membantu anda. Apa pun, di artikel ini saya ingin memasukkan beberapa rangkap lagu Ros Kalas, terima kasih semua kerana bertandang…

Ala ngendong ngendong
Ros kalas sayang di taman raja
Dipetik oleh adoh sayang suri… permaisuri
Tidak terbalas adoh sayang tuan, budimu tuan…
Betapa jaoh adoh sayang sini datang ke sini…

Ala ngendong ngendong
Teranglah bulan mengalik ubi,
Ubi digalik adoh sayang karong… berkarong karong…
Tuan di awan adoh sayang bumi, kamek di bumi….
Mengirum surat adoh sayang burong, dimulut burong…

Ini warna kalas atau kalau di sini dipanggil merah jambu;












Warna ini disebut gadong oleh sesetengah Melayu Sarawak;












Dan ini, engkodok, atau di sini dipanggil ungu;










Itu sahaja untuk hari ini ya, mengenali warna dalam bahasa Melayu Sarawak..

Monday, 12 April 2010

Salam Kayu Belian!

Ketika saya sedang duduk bersama 3 rakan saya yang juga asalnya Sarawak, kami sempat berbual-bual mengenai kayu belian. Terus fikiran saya terbang jauh ke negeri kelahiran saya itu. Kata pepatah Melayu, tempat jatuh lagi dikenang, ini pula tempat bermain. Kalau pun saya tuliskan tentang kerinduan saya kepada tempat lahir saya ini, mesti gambarannya tidak dapat saya berikan kerana rindunya saya akan tempat ini tiada bandingannya, wajah keluarga, kerabat saudara dan teman-teman bermain membuat hati saya bertambah mendesak untuk kembali ke kampung halaman. InsyaAllah 1 Mei 2010 ini, saya akan dibawa terbang Kuching. Terima kasih saudara Lein John kerana membantu saya menempah tiket ya! Kayu belian mungkin terkenal dalam kalangan masyarakat nusantara. Menurut teman saya, harga kayu belian ini boleh mencecah ratusan ringgit sebatang. Terus saya mencongak harga kayu belian di pasaran kini yang berharga antara RM40-100 sekaki mengikut gred. Kayu jenis belian ini lebih popular di kawasan hutan Pulau Borneo. Di Sarawak khususnya, pokok belian sendiri menjadi identity bagi negeri kami. Pokok ini boleh tumbuh setinggi 100 kaki dan mencapai diameter sehingga 36 inci. Kayu belian ini juga dikenali sebagai “kayu besi Borneo”. Kekerasan dan tidak mudah reput kayu ini menjadi pilihan pengguna tempatan mahupun luar. Lalu saya fikirkan betapa pentingnya kekuatan yang boleh diambil daripada falsafah kayu belian itu. Mungkin kita juga perlukan kekuatan untuk memastikan harga diri kita tidak mudah dipermainkan. Alangkah indahnya andai dapat sekuat kayu belian. Terima kasih buat saudara Denis, Stanley dan Jeaniel yang menjadi teman berbicara malam ini serta semua yang sudi membac a artikel ini. Ingat ya, sekuat belian…

Saturday, 10 April 2010

Buaya & Bahaya

Bahayakan, buaya ini naik ke rumah. Mungkin lapar atau ada sesuatu untuknya di situ. Sesiapa yang ingin berumah di tepi kawasan perairan, bukan hanya perlu takutkan ombak yang datang melandaikan, tetapi juga perlu waspada dengan binatang sebegini.

Salam Ikan Terubuk

Masa saya sedang membalas beberapa masej rakan-rakan saya melalui laman sosial facebook, tiba-tiba saya di tag dengan gambar ikan terubuk yang begitu popular bukan sahaja dalam masyarakat di Sarawak, malah juga di seluruh Malaysia. Terkenalnya ikan ini sehingga ada dalam kalangan rakan di Semenanjung ini mengidam untuk menikmatinya. Di Sarawak, ikan terubuk ini mempunyai daya tarikan tersendiri. Tidak semua tempat ada menjual ikan ini walaupun anda semua berada di pasar ikan. Ajaib kan? Tidak, sebenarnya unik. Ikan terubuk ini boleh didapati di beberapa kawasan tumpuan ramai terutamanya pada hujung minggu di Pasar Minggu Satok. Kalau pun sudah terliur untuk menikmati kelazatan dan enaknya ikan ini, mungkin anda boleh membelinya berhampiran salah sebuah tempat menjadi bukti pada satu masa dahulu kerajaan Sarawak yang berada di bawah kekuasaan Raja Brooke iaitu di Brooke Dockyard. Teman-teman pembaca jangan salah anggap gambar bangunan Brooke Dockyard, kerana tiada yang menjual ikan terubuk di dalamnya, kerana itu tempat sejarah. Harga ikan terubuk ini semurah RM10 mengikut keadaan semasa. Jarang saya mendengar pembeli ikan ini akan menawar harga ikan ini, kerana penjual ikan ini sudah meletakkan harga yang sudah cukup berpatutan. Alang-alang sudah berada di Sarawak, saya ingin membawa teman-teman ke beberapa kawasan di Sarawak, lihat sahaja foto-foto di bawah ini, jika teringin untuk ke Sarawak, silakan. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Ramai yang masih beranggapan Sarawak ini masih penuh dengan hutan. Itu mungkin 100 tahun dahulu. Sekarang Sarawak sudah begitu gah dalam dan luar negara. Justeru, teman-teman, jangan membuat spekulasi sendiri ya. Salam ikan terubuk semua…




Mungkin anda inginkan penginapan bertaraf bintang dan anda patut menginap di Hotel Merdeka Palace.




Bersiar-siar di Bandaraya Kuching, singgahlah sekejap di The Coffee Bean, Sarawak Plaza ya!




Singgah sekejap di Plaza Tun Jugah..




Jauh untuk ke Miri kan, tapi apa salahnya kalau duit poket masih banyak..






Bandaraya Kuching menjelang senja..




The Spring, Kuching.



Parkson di Kuching, teringat masa tengok wayang & main boling bersama teman-teman...




Dewan Undangan baru, faktanya tercantik di Asia...



jom ke Boulevard..





malam sudah, jom balik
& selamat datang ke Sarawak ya semua!!!