Dalam saya menghayati suasana desa di kampung halaman, tidak ketinggalan saya bawakan bersama buku-buku ilmiah serta beberapa buah novel yang perlu saya habiskan bacaan sebelum peperiksaan akhir yang akan datang. Antaranya novel saya, saudara boleh lihat kulit bukunya. Saya pada mula pembacaan keliru sedikit, tetapi silap saya sendiri yang tidak menyedari cara kreatif penulis Abdul Talib Mohd. Hassan yang punya sentuhan tersendiri. Saudara teman-teman perlu merasai hasil tangan penulis ini. Novel ini memenangi Hadiah Pertama Sayembara Novel Gapena 1976. Oh, kenapa saya baru membacanya. Kisah perjuangan yang begitu suci dan murni. Terus saya bertanya kepada diri, apa mampu saya lakukan sesuatu seperti yang pengorbanan itu. Hebatnya pengorbanan seorang sahabat begitu besar kesannya kepada saya. Tapi adakah Hisyam dan Rahmat yang digarap perwatakkannya oleh pengarang mampu saya ikuti. Saya tertanya-tanya tentang persahabatan kadang-kadang. Saya ada sahabat? Entah, ada mungkin teman. Sahabat mungkin terlalu tinggi statusnya. Sahabat mungkin ada definisi tersendiri. Saya tidak mampu huraikan sendiri. Balik kepada novel ini, sebuah kawasan yang mundur, ya tahun 1976. Mungkin penulisannya sekitar 1960-1979. Siapa tahu? Saya pun tidak pasti. Kerana saya menggoogle(ini kata-kata Dr. Mawar pada kuliahnya sebelum cuti Aidilfitri, saya kurang pasti ejaannya) tidak berjumpa pun wajah Abdul Talib Mohd. Hassan, atau Altaha nama penanya. Wikipedia tentang dirinya pun, alahai.. tidak seperti pemenang Hadiah Pertama pun. Inilah nasib penggiat sastera Malaysia, mungkin Asia. Tidak seperti di Barat, mereka disanjung dan dikenali. Salah apa? Mentaliti atau attidude? Saya tiada komen. Oh ya, sekitar tahun-tahun 1960-1970an umpamanya, Gemas digambarkan begitu daif dengan kemajuan terutama di kawasan kampung Rahmat ini. Mujur ada yang mahu membawa kemajuan, itu pun ditentang. Mungkin ini memang respon daripada masyarakat yang telah dijajah. Mereka rasa cuak untuk menerima masyarakat asing walaupun tahu akan niat dan tujuan mereka. Saya akan menggoogle lagi tentang pengkaryanya. InsyaAllah petang ini saya akan ke kedai buku mencari Saga II dan Saga III. InsyaAllah juga saya ingin ke Gemas, gambar landasan keretapi Gemas itu mungkin salah satu lokasinya. Rasa ingin ke tempat yang saya kembara hanya dalam ilusi. Ketawa dalam syahdu. Tidak lama lagi Aidilfitri, tentang post mengenai Aidilfitri saya belum ada mood lagi. Esok atau lusa mungkin. Suasana desa saya ini belum lagi nampak sinarnya Aidilfitri. Hanya curahan warna warni lampu beraneka di luar rumah. Apa-apa pun, saya tertarik dengan Saga ini. Kalau ada yang berkesempatan mendapatkan bukunya, silakan mengisi masa lapang. Benar, sangat menarik! Salam Saga semuanya...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment