Salam aidilfitri semua, tidak terasa sudah sebulan kita umat Islam selesai menunaikan puasa selama 30 hari pada tahun ini. Semasa saya sedang menukil coretan untuk saudara semua, saya bersama-sama dengan keluarga menyiapkan persiapan untuk lebaran pada Jumaat ini. Esok merupakan hari terakhir untuk menunaikan perintah Allah untuk menahan diri daripada lapar, dahaga dan perkara yang akan membatalkan puasa kita. Saya sendiri dapat merasakan kehebatan Ramadhan pada setiap tahun. Mungkin bukan di post ini untuk saya coretkan. Malam ini saya dan keluarga membuat persiapan. Lemang yang menjadi perkara pertama untuk difikirkan. Tempahan lemang untuk lebaran kali ini begitu banyak. Keluarga saya akan mengambil tempahan di samping menyediakan lemang untuk juadah sendiri di Aidilfitri. Kesibukan pada malam ini mungkin tidak sehebat esoknya. Mana tidaknya, malam esok sahaja rumah kami akan dikunjungi ramai orang. Sehebat KLCC pada
hujung minggu mungkin tidak. Saudara semua, semalam saya cuba menghidupkan pelita yang saya siapkan pada awal pagi. Tidak sabar untuk menyalakannya. Tapi malangnya, minyak tanah pelita saya bercampur dengan air hujan yang turun menyiram. Saya terlupa untuk menyelamatkan pelita saya dan akibatnya tidak menyala pelita saya. Mungkin malam esok saya akan cuba lagi, doakan ya! Bunyi mercun bukan benda asing di kawasan saya ini. Kanak-kanak paling gembira. Seperti saya juga pada masa kecil. Setiap malam saya pastikan saya tidak ketinggalan bermain mercun dan bunga api. Tapi saya tidak se hebat teman-teman lain yang boleh bermain mercun yang agak tinggi kemungkinannya mengejutkan orang yang tidur. Saya begi
tu takut untuk membakar mercun jenis abom (ini sejenis mercun yang bunyinya mampu mengejutkan seratus orang yang sedang tidur agaknya) kerana bukan takut kesannya kepada diri saya, tetapi orang lain. Saya bimbang ramai yang terkejut. Apa yang penting, di Aidilfitri ini nanti terdapat sedikit kelainan. Paginya muslimin dan muslimat akan berduyun-duyun menunaikan solat sunat Aidilfitri dan tengah harinya kaum muslimin akan menunaikan solat Jumaat. Apa yang pasti pada hari itu, ketika solat Jumaat ramai akan mengenakan baju Melayu dengan lengkap termasuklah saya. Pagi raya ini telah saya caturkan, akan ada pelbagai juadah. Paling penting ketupat dan kuah kacang. Makanan saya di pagi lebaran. Mungkin citarasa kita berbeza. Seperti rakan saya, pagi lebaran mesti ada ayam masak merah. Bagi saya, setiap hari pun boleh makan ayam masak merah tanpa menunggu lebarankan? Tapi citarasa masing-masing yang tidak boleh kita persoalkan. Saya akan habiskan masa saya bersama keluarga tercinta. Raya ke-13, insyaAllah saya akan kembali ke pembukitan ilmu. Doakan lebaran tahun ini sehebat lebaran yang lepas, dan insyaAllah jika dipanjangkan usia kita akan dapat bertemu lagi dengan Ramadhan dan pastinya lebaran lagi. Salam lebaran ya semua!
No comments:
Post a Comment