Saturday 18 September 2010

erti Persahabatan

“Farid masih hidup. Kamu semua memang dengkikan aku sekeluarga.” Mak Timah yang masih belum dapat menerima hakikat tentang kematian anaknya yang mati lemas di Pantai Cahaya dua hari lepas dan masih mengatakan bahawa anaknya itu masih hidup. Mak Timah tiada sesiapa lagi. Farid yang merupakan satu-satu anaknya itu juga telah meninggalkannya setelah suami dan tiga lagi anaknya terkorban dalam kemalangan ngeri.
Aku cuba menenangkan Mak Timah. Mungkin aku yang paling dekat dengan Mak Timah. Farid anak Mak Timah bukan sahaja aku anggap sebagai kawan sepermainan, tetapi juga sudah aku anggap sebagai saudaraku sendiri. Mak Timah meraung lagi. Semua yang ada di situ menunjukkan pelbagai reaksi. Ada yang berbisik-bisik, ada yang ketawa dan ada juga yang mencemikkan muka.
Peristiwa petang tadi benar-benar meruntun jiwa aku. Aku faham perasaan Mak Timah. Aku yang hanya kawan kepada Farid merasakan pemergiannya hanya mimpi. Apatah lagi Mak Timah ibunya.
Farid pada petang itu benar-benar tekad untuk pergi ke Pantai Cahaya. Katanya dia perlu ke sana kerana Pak Mail yang merupakan peniaga di pasar malam tempat Farid bekerja akan membuka gerai di situ. Farid ingin mendapatkan upah yang lebih untuk menampung perbelanjaan harian diri dan ibunya. Cuaca yang cerah tiba-tiba dipayungi awan yang mendung. Angin bertiup kencang dan menerbangkan beberapa barangan jualan di gerai Pak Mail. Farid segera berlari mendapatkan barang-barang yang diterbangkan angin. Kilat sabung-menyabung dan hujan turun dengan lebatnya. Farid yang masih lagi berada di pantai dan mengutip barang-barang yang diterbangkan angin itu mengendahkan cuaca yang semakin memudaratkan. Farid semakin ke tengah dan mengambil barang yang ada di perairan. Ombak mengganas. Farid sememangnya boleh berenang itu gagal melawan desakan ombak yang menggila. Farid sesekali timbul. Hujan semakin lebat dan tiada cahaya kelihatan. Semuanya gelap. Keadaan cuaca yang ribut itu menghalang Pak Mail daripada mendekati kawasan pantai. Farid hilang daripada pandangan. Setelah keadaan cuaca semakin reda, Pak Mail terus turun ke pantai mencari Farid. Farid tiada. Dan kini, Farid telah pergi dan tidak akan lagi kembali.
Cerita tentang saat-saat pemergiaan Farid yang digambarkan oleh Pak Mail itu bermain-main di kotak fikiranku. Timbul rasa menyesal kerana aku tidak bersama dengan Farid ke Pantai Cahaya. Farid ada mengajak aku untuk bersamanya ke Pantai Cahaya. Aku menolak dengan alasan aku perlu menyiapkan kerja sekolahku. Malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Semua peristiwa dan kenangan persahabatan antara aku dan Farid merawang di fikiranku. Aku masih ingat lagi, ketika aku terjatuh dari basikal ketika pulang daripada sekolah. Farid membantu aku dengan menghantar aku pulang walaupun dia hanya berjalan kaki. Jarak rumahku yang jauh tidak menghalangnya untuk membantu aku. Pernah juga satu ketika, aku tercicir wang saku dan menyebabkan aku tidak dapat membeli makanan pada waktu rehat. Farid mempelawa aku untuk makan bekal yang dibawanya daripada rumah.
Persahabatan antara aku dan Farid tidak disenangi oleh beberapa rakanku. Mereka menuduh Farid cuba mengambil kesempatan kerana aku anak orang kaya. Aku tidaklah semewah yang mereka katakan. Ayahku bekerja sebagai pengurus di salah sebuah syarikat ternama di ibu kota. Ibuku seorang pegawai di sebuah bank. Dulu memang aku tidak berkawan dengan Farid, tetapi keikhlasannya membantu aku telah membuka mataku untuk berkawan dengannya. Farid faham akan keadaan itu. Pernah satu ketika Farid memberitahu aku bahawa dia tidak mahu lagi berkawan dengan aku. Namun, setelah beberapa kali aku menerangkan kepadanya tentang keadaan yang sebenar, Farid akhirnya faham.
“Kau nak tahu tak Tahir, hanya kau seorang yang sudi berkawan dengan aku.” Kata Farid sambil mengutip pucuk-pucuk ubi yang tumbuh subur di kawasan yang tidak bertuan itu.
“Kenapa kau kata begitu Farid? Soalku.
“Aku ni anak yatim dan miskin. Tak siapa pun sudi berkawan dengan aku.” Wajah Farid yang tadinya ceria berubah tiba-tiba.
“Kau janganlah macam tu Farid. Aku ikhlas berkawan dengan kau. Kau banyak membantu aku Farid.” Aku cuba meyakinkan Farid.
Pelbagai peristiwa yang bermain di fikiranku seolah-olah sebuah tayang filem yang panjang. Aku tersedar jam sudah 8 pagi. Aku segera bangun dan bersiap untuk melawat Mak Timah. Aku membawa nasi lemak yang dimasak oleh ibuku untuk diberikan kepada Mak Timah. Sampai sahaja di rumah Mak Timah, aku melihat Mak Timah terbaring di sudut rumahnya yang semakin usang. Aku menghampiri Mak Timah. Aku menghulurkan nasi lemak yang aku bawa daripada rumah kepada Mak Timah.
“Terima kasih nak.” Ucap Mak Timah dengan lemah. Aku menggangguk dan bersimpati dengan diri Mak Timah. Mahu sahaja aku membawa Mak Timah pulang dan tinggal bersama keluargaku. Tapi adakah mereka akan bersetuju.
“Tahir, kau pergilah ke bilik Farid. Ada kotak yang dia ingin berikan kepada kau.” Kata Mak Timah. Kotak apa yang dimaksudkan oleh Mak Timah. Aku tidak pernah memberi apa-apa kotak kepada Farid. Aku segera melangkah ke bilik Farid yang berada di hujung sudut rumah kecil itu. Pelbagai persoalan bermain di benak fikiranku. Kotak apa yang ingin diberikan Farid kepada aku.
Aku membuka pintu bilik Farid dengan perlahan. Bau kemenyan masih lagi dapat dihidu di dalam bilik ini. Perasaan pilu menyelubungi diriku. Aku terlihat kotak yang sudah tersedia di atas meja kecil di tepi katil. Aku menghampiri meja kecil itu dan mendapatkan kotak itu. Tertulis namaku di atas kotak itu. Aku membuka kotak itu. Sampul surat berwarna coklat muda dan sebungkus duit yang diikat dengan gelang getah aku keluarkan daripada kotak itu. Aku membuka sampul surat dan melihat isi kandungannya yang kemas tulisannya.

Kepada sahabatku Farid,
Pertama sekali, aku ingin meminta maaf kepada kau kerana hanya surat ini yang menjadi pengganti diriku untuk melangsaikan hutangku kepada kau. Sejak akhir-akhir ini, aku selalu termimpikan arwah ayahku dan arwah adik-adikku. Aku bimbang seandainya aku tidak sempat melunaskan hutangku kepada kau. Mungkin semasa kau membaca suratku ini, aku telah pergi meninggalkan dunia dan berpindah ke alam yang lain.
Farid, ingatkah kau dulu tentang duit sebanyak RM50 milik kau yang hilang ketika aku berada di tempat duduk kau dulu. Aku benar-benar tidak mengambil duit kau itu Farid. Aku tidak tahu tentang duit kau hilang. Tetapi aku hanya mengetahui setelah Zulaikha memberitahu aku tentang kehilangan duit kau. Aku tahu kau pasti akan menuduh aku mengambilnya Farid, tetapi aku bersumpah bukan aku yang mengambilnya.
Farid, aku tidak mahu hanya kerana RM50 itu kau akan memutuskan persahabatan kita. Aku tidak menganggap persabahatan kita hanya dengan RM50 itu. Kerana itu aku bekerja keras untuk mendapatkan wang itu dan memulangkan kembali kepada kau agar persahabatan kita seperti dulu.
Aku berharap agar kau dapat memaafkan kesilapan aku sepanjang persahabatan kita ini. Seandainya aku tidak lagi bernafas untuk mengucapkan terima kasih kerana kau menjadi sahabatku, maafkan aku. Mungkin aku perlu pergi mendahului kau bertemu dengan pencipta yang Maha Esa. Aku berharap agar persahabatan kita akan kau ingatkan selalu.
Salam,
FARID

Tiba-tiba air mataku mengalir deras. Aku tidak dapat lagi menahan esakku. Aku melihat wang di dalam bungkusan itu. Aku dirundung rasa bersalah. Memang aku pernah menuduh Farid mencuri wangku yang ada di dalam begku sebanyak RM50. Aku pernah memberitahu rakan sekelasku tentang kehilangan wangku itu. Tetapi wangku itu sebenarnya tercicir semasa hendak keluar dari rumah pada pagi itu. Aku tidak berani memberitahu rakan-rakan sekelasku tentang perkara itu. Aku takut malu kerana telah menuduh Farid mencuri duitku. Aku tidak tahu yang Farid juga mengetahui tentang perkara ini.
Aku terus keluar daripada bilik itu. Bilik yang pernah menjadi tempat tidur seorang sahabatku yang benar-benar mulia. Aku terus meninggalkan Mak Timah yang kehairanan dengan tindakanku. Aku mula diselubingi rasa bersalah. Aku menyesal atas tindakanku yang menuduh Farid mencuri duitku.
Aku ingat lagi. Selepas peristiwa itu, Farid mula menjauhi aku. Ingin sahaja aku memberitahu tentang duitku yang sebenarnya tercicir dan bukannya hilang. Tetapi aku ego dan malu untuk memberitahu perkara sebenar. Farid tidak lagi duduk di ruang meja sekolahku. Ajakan aku untuk ke kantin bersama dan keluar pada sebelah petang ditolak oleh Farid. Mungkin Farid rasa bersalah atas tuduhan yang telah aku lontarkan kepadanya. Rakan-rakan sekelasku juga mula memulau Farid. Mereka mengatakan Farid panjang tangan dan miskin. Pernah satu ketika aku melihat Farid menangis di tandas. Aku tidak berani menegurnya. Aku terlalu pentingkan diri sendiri.
Aku tidak dapat lagi melangkah. Kakiku seolah-olah tertimbus di dalam tanah. Aku tidak berdaya mengingati kembali peristiwa-peristiwa ini. Tetapi bagaikan sebuah perakam video yang memutarkan kembali ingatan aku kepada persahabatan aku dan Farid. Aku terlalu mementingkan diri sendiri sehingga mendatangkan kesusahan kepada diri Farid yang terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kembali duitku itu walaupun bukan dirinya yang mengambil duit itu. Tetapi demi persahabatan kami yang diinginkannya agar seperti dulu, dia sanggup untuk bersusah payah untuk membaiki rekah-rekah persahabatan kami yang kian luntur.
Pelbagai persoalan timbul di benak fikiranku. Aku tidak layak untuk digelar sahabat kepada Farid. Aku terlalu jahil untuk semua mendapatkan nilai yang ada pada persahabatan itu. Mungkin Farid masih lagi bersama dengan ibunya di rumah ketika ini jika tidak kerana sikap aku. Mungkin Farid masih lagi ke sekolah seperti biasa jika tidak kerana kelakuanku ini.
Aku yang perlu mati dahulu. Aku berlari pantas. Aku berlari tanpa arah tujuan yang pasti. Larianku bersama cebisan kenangan persahabatan yang telah aku sendiri rosakkan. Aku keruan. Terus berlari atau berhenti. Aku tidak pasti jalan manakah tempat aku berdiri kini. Hiruk-pikuk jalan raya dapat aku rasai kini.
Mataku menyeberang jalan seberang. Aku terpandang Farid yang lengkap berbaju putih melambai aku dari jauh. Selangkah. Dua langkah. Bunyi hon yang datang daripada ke dua arah memecahkan lagi kebisingan pada hening itu. Aku melihat dunia seoalah-olah berputar. Pandanganku sedikit kabur, dan segalanya kini gelap. Aku merasakan pipiku beberapa kali ditampar halus. Entah tangan siapa.
Aku dapat merasa tubuhku diangkat dan diletakkan di atas tapak yang lembut. Bunyi siren yang biasa aku dengar ketika melintasi hospital berhampiran sekolahku mengiringi perjalananku. Aku cuba membuka kembali mataku. Tetapi enggan. Sukar sekali.
Aku terdengar suara ayah dan ibuku. Namaku dipanggil silih berganti. Ah, bagaimana aku hendak menyahut panggilan mereka. Lidahku kelu. Mataku tidak lagi mampuku buka. Aku terlihat bayangan jauh yang semakin dekat. Kabur dan kini jelas.
“Kau Farid?” Aku dapat melihat wajah Farid menghulurkan persalinan baju yang persis seperti dirinya. Aku menyambut persalinan itu walaupun Farid tidak menyahut persoalanku. Wajah Farid yang begitu tenang sekali menghilangkan rasa sakit yang tadinya menyengat seluruh anggota badanku.
Tiba-tiba aku rasakan sesuatu menggoncang jantungku. Nafasku tersekat dan hidungku tidak lagi dapat menyedut. Aku gentar. Takut sekali. Namaku dipanggil lagi.
“Farid, bangun Farid.” Suara ibu bergetar dengan esakan. Aku ingin bangun. Tetapi mengapa aku tidak dapat bergerak. Jantungku seolah-olah menerima tarikan yang begitu kuat. Allahuakbar!
Tiada lagi kedengaran suara ibu dan ayah. Adakah perjalanku sudah sampai ke destinasi.

No comments:

Post a Comment